Thursday, December 20, 2012

Harith Irfan Birthday & Video Mimpi Ke Bintang

Selamat hari jadi diucapkan untuk adik Abdul Harith Irfan. Juga anak kepada senior ku di SMK Kuhara dahulu. Semunya sudah beranak-pinak dan sudah kahwin belaka. Nampaknya semua rakan-rakan zaman sekolah kini sudah ke alam tua. Ha,ha,ha, termasuklah aku sendiri. Umur 28 tahun sudah ada 3 orang anak. Alhamdulilah rezeki daripada Allah. Saya, Armand dan Hafiz turut sama memeriahkan sambutan hari jadi tersebut di Marca Polo Hotel. Semuanya berjalan dengan lancar. Kali ini berani mencuba silap mata yang baru.

Seterusnya kembali semula mengenai program Mimpi Ke Bintang. Saya sudah upload video persembahan tempoh hari ke dalam youtube. Banyak respon daripada rakan-rakan, ada yang marah, ada redha dan ada yang memberi semangat. Walau apa pun saya telah buat yang terbaik. Mungkin juri ingin lebih luar biasa daripada yang lain walaupun banyak perserta pelik daripada biasa. 

Setelah tamat pencarian bakat Mimpi Ke Bintang di Negeri Sembilan. Saya dapat buat kesimpulan pencarian bakat ini tertumpu kepada bakat kanak-kanak sahaja. Tidak kira bakat mereka luar biasa atau pelik biasa. Saya doakan rakan perjuangan Saya Erpan akan berjaya diperingkat seterusnya. Harap tidak kalah dengan bakat luar biasa pelik mereka.


Monday, December 10, 2012

Live Mimpi Ke Bintang Pengalaman Berharga

Seperti sedia maklum saya dan anak saya layak ke peringkat ke 2, Mimpi Ke Bintang di Kota Kinabalu. Bukan sahaja saya tetapi rakan Hafiz dan Irfan juga turut layak. Penasihat kami selaku pengurus kami Arman juga turut sertai kami. Agak risau dihari pendaftaran apabila Auni cirit birit pula. Nasib baik sembuh sebelum audition. 

Setelah audition, akhirnya hanya saya, Hafiz dan Irfan yang terpilih untuk ke siaran langsung pada 08 Disember 2012. Agak sedih anak tidak mengiringi aku. Kami bermula raptai pada hari Jumaat petang hingga ke tengah malam. Kemudian sambung raptai pada awal pagi sabtu hingga ke petang. MasyaAllah penat gila dibuatnya. Inilah akibat mahu live sangat di TV. Kami hanya tertidur 1 jam sahaja sebelum hari persembahan. Aku kasihan dengan anak aku yang terpaksa mengikut kami ke raptai hingga dia tertidur kepenatan. Nasib baik ada Arman yang jaga.

Perasaan live di TV sukar untuk digambarkan. Walaupun pengalaman sebagai magician sudah lama tetapi debaran pertandingan ini sedikit berbeza. Banyak bakat yang lain mencabar krebiliti kami sebagai magician. Banyak yang aku belajar dari bakat-bakat peserta yang lain. Banyak inspirasi yang aku dapat.





Akhirnya aku berjaya buat persembahan yang terbaik. Magic yang aku buat bertajuk "Ada Satu Tali". Tetapi kemungkinan besar magic yang aku lakukan terlalu mudah.  Berbanding peserta-peserta yang lain. Aku mendapat lampu merah daripada Linda Onn selaku juri dan pengkritik ketika giliran ku. Apa-apa pun aku berpuas hati dengan apa yang aku buat. 100% tidak ada kesilapan yang aku buat magic tersebut. Cuma rezeki tidak menyebelahi ke peringkat seterusnya. Terima kasih rakan-rakan yang tidak putus-putus menyokong dan mendoakan aku, Auni dan kawan-kawan ku. Juga untuk keluarga yang ku sayangi sentiasa menyokong kerjaya ku ini. Pengalaman baru dan berharga untuk diriku.

Friday, November 16, 2012

Saringan Mimpi ke Bintang Sabah



Baru- baru ini, rakan aku Irfan khabarkan dengan aku akan saringan Mimpi ke Bintang anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Malaysia di Sandakan. Irfan telah terpilih untuk ke peringkat kedua yang akan diadakan di Kota Kinabalu. Selang beberapa hari saringan Mimpi ke Bintang datang ke daerah Tawau. Jadi, sekali lagi saya mencuba nasib seperti rakan-rakan magic di negeri-negeri yang lain.

Tetapi kali ini saya mempertaruhkan anak aku sendiri untuk mengikuti saringan ini. Anak pertama aku yang berumur 5 tahun membuat silap mata untuk saringan tersebut. Tanpa alasan anak aku berjaya ke peringkat seterusnya di Kota Kinabalu. Kemudian giliran aku pula membuat silap mata. Hanya satu minit sahaja diberikan untuk menunjukkan bakat. Agak susah untuk menghiburkan orang dalam masa satu minit. Aku pun pening fikirkan magic apa yang sesuai. Benda ni subjektif, apa yang penting juri yang menilai mestilah terhibur dengan apa yang dipersembahkan.

Berbekalkan pengalaman yang ada akhirnya saya turut layak ke peringkat seterusnya di Kota Kinabalu. Apa yang hebat ujibakat ini, peserta yang layak akan ditanggung segala perjalanan dan penginapan. Itu yang seronok dengar tu. Maklumlah perjalanan ke Kota Kinabalu melalui darat mengambil masa 8 Jam. InsyaAllah, saya dan anak saya berusaha di peringkat kedua di Kota Kinabalu untuk peringkat final pada 8 Disember 2012. Doakan kejayaan saya dan anak saya.

Saturday, November 3, 2012

Show yang tidak dijangka....


Aku sangka sekolah sebelum ni adalah penutup tahun ni. Rupa-rupanya ada lagi sekolah yang panggil. Terima kasih SK. Melodi Tawau atas jemputan sempena sambutan hari jadi dan majlis perpisahan tahun 6. Ok masa untuk rehat....

Thursday, November 1, 2012

Lahirnya Hero ku...

Alhamduillah, lahir anak ku yang ketiga. Anak lelaki diberi nama "ASRI" yang membawa maksud "Masa".

Sunday, October 28, 2012

Raya Qurban Family Day 2012

Terima kasih diucapkan kepada cikgu Juliana atas jemputan silap mata dan khidmat clown. Sambutan malam raya tersebut bersempena hari keluarga Doktor Jefry. Majlis diadakan di Kompleks Sukan Tawau. Memang meriah dan gembira. Seronok melihat kegembiraan melihat persembahan kami. Ia cukup memberi suatu kepuasan untuk kami.

Wednesday, October 24, 2012

Motivasi di SK Umas-umas Tawau penamat


Segalanya selesai dan ceramah motivasi yang terakhir untuk tahun 2012. Ucapan jutaan terima kasih untuk Sifu saya Arif Muazzim Abdul Rahman atas tunjuk ajar mengenai Program Motivasi ini. Juga untuk Arman yang banyak membantu saya sepanjang program motivasi dijalankan. 

Terima kasih sekolah-sekolah yang sudi menjemput kami untuk berkongsi ilmu dengan murid-murid sekolah anda. Mudah-mudahan ilmu yang diberi memberi sedikit sebanyak perubahan kepada- murid-murid anda.

Terima kasih untuk pembaca blog saya, kamu inspirasi dan motivasi saya untuk berjuang dalam bidang ini.  Terima kasih, terima kasih, terima kasih.....

Tuesday, October 16, 2012

Kelas Silap Mata Shahril Fuyoo Magic?


 Tahun 2010 lalu, aku pernah mengadakan kelas silap mata Shahril Fuyoo Magic dan persembahan silap mata Shahril Fuyoo Magic secara besar-besaran di Tawau. Saya boleh katakan itulah kemuncak kehebatan Magic di Malaysia pada masa itu. Dua tahun berlalu, saya sekali lagi ingin mengadakan kelas silap mata untuk magician-magician di Sabah umumnya. Namun semua bergantung dengan jumlah peserta yang bakal mengikutinya.

Kebelakangan ini ramai remaja-remaja Sabah bergiat dalam bidang silap mata. Oleh itu, saya memberi peluang kepada mereka untuk belajar bersama idola magic Malaysia iaitu Shahril Fuyoo Magic. Itupun sekiranya penyertaan menggalakkan. Di harapkan, magician- magician Sabah umumnya memberi sokongan padu usaha untuk Kelas Silap Mata ini. Siapa lagi yang martabatkan magic kalau bukan magician itu sendiri.


Dua minggu  berturut-turut aku menjalani Kursus KSSR. Kursus pertama sebagai jurulatih dan kursus kedua sebagai peserta dan dua minggu juga aku tidak datang ke sekolah. Setelah berkursus dua minggu, aku kembali ke sekolah dan mendapat jemputan ceramah motivasi di SK Kuala Apas Tawau, tetapi memandangkan aku sudah dua minggu hilang dari sekolah, pihak pentadbir tidak membenarkan aku keluar lagi. Apa boleh buat? Sekolah rindu akan perkhidmatan ku. 


Kemudian datang lagi satu surat jemputan ceramah motivasi di sekolah nun jauh di pedalaman. Akhirnya, jemputan kedua ini pula pihak pentadbir memberi pelepasan. Syukur Alhamdulilah. Beberapa jemputan silap mata juga turut mengiring. Harap semuanya berjalan lancar. InsyAllah boleh.

Friday, September 28, 2012

Dan & Dave Lecture / SK Kukusan Motivasi


Alhamdulilah, semuanya berjalan lancar. 25 September baru-baru ini, aku pergi ke Kuala Lumpur untuk ke kelas Dan & Dave Lecture. Rakan-rakan Taufiq, Johnny & Chris turut sama ke kelas berkenaan. kami menaiki kereta LANCER abang Boncoi dan bodyguard kuat kami encik Fendy Buck turut sama-sama ke kelas berkenaan. Semuanya berjalan lancar walaupun kelas berkenaan agak kompleks untuk difahami. Mungkin aku ni bukan seorang flourish, tapi dapat berjumpa Dan & Dave impian menjadi realiti.

Dapat lepak dengan rakan-rakan Fuyoo Magic Station termasuk Shahril. Dapat berkongsi pengalaman bisnes silap mata mereka di Kuala Lumpur. banyak yang Shahril ajar. Pagi tu juga dapat berjumpa dengan mentor saya AMAR. Sempat makan nasi lemak jam 3 pagi dan berkongsi maklumat magic dengan beliau.

Keesokan paginya membeli sedikit barang dan pulang semula ke airport dengan menaiki kereta abang Shahril Fuyoo Magic. Sepanjang perjalanan sekali lagi dapat berkongsi ilmu tentang silap mata mereka dan khidmat badut yang mereka jalankan di Kuala Lumpur.


Hari Jumaat 28 September pula saya dipanggil untuk memeberi Motivasi sempena program UPSR di SK Kukusan Tawau. Alhamdulilah semuanya berjalan lancar. sedikit penambahan dengan motivasi kali ini. Hypnosis pula aku jalan seperti biasa dan kali ini dengan guru di dalam dewan pun turut terhypnosis. Agak terkejut juga sebab hypnosis itu hanya saya tumpukan kepada pelajar-pelajar sahaja. Mungkin cikgu tersebut turut menghayati apa yang saya katakan menyebabkan beliau turut terhypnosis. Beliau memberi respon baik tentang hypnosis tersebut.

Akhir sekali, pulang program motivasi aku demam dan pengsan...... PENAT tiada rehat bos....

Friday, September 21, 2012

September & Oktober pelbagai komitmen

Bulan September & Oktober adalah bulan yang penuh komitmen bagi saya. Komitmen sebagai guru, ahli silap mata, Jurulatih & sebagai Ayah. Alhamdulilah buat sementara ni semuanya berjalan lancar. Tapi kesibukan ini menjadi sesuatu yang seronok untuk diri saya dan saya terhibur dengan apa yang saya buat. 

Komitmen sebagai guru, di awal bulan September ini UPSR telah berlangsung. Aku terlibat 100% oleh kerana aku guru BM dan guru kelas tahun 6 tersebut. Selepas UPSR pula aku kena mengendalikan program selepas UPSR. Serentak dengan itu, saya juga perlu menghantar budak ke perkhemahan Unit bimbingan kaunseling dan serentak itu juga saya perlu mengisi secara Online kenaikan tingkatan 1 murid tahun 6 dan banyak lagi komitmen sebagai guru yang menyebabkan tidak terduduk dibuatnya. Bulan Oktober ini pula, aku akan mengendalikan Kursus KSSR Tahun 3. Oleh kerana telah dilantik sebagai Jurulatih, maka tugas untuk menyampaikan perlu dilaksanankan di peringkat daerah Tawau.

Komitmen sebagai Ahli Silap Mata, semasa menghantar budak ke perkhemahan, Unit Bimbingan Kaunseling terus menjemput aku membuat persembahan silap mata sempena penutupan perkhemahan tersebut. Pembeli barangan silap mata juga tidak putus-putus memesan barangan silap mata untuk dibeli. Hujung September ini aku akan ke KL untuk menghadiri Dan & Dave Lecture. Selain itu, panggilan tempahan membuat aku runsing akan bertembung dengan kerjaya aku sebagai guru. 

Komitmen sebagai Ayah, sesibuk mana pun keluarga juga perlu diutamakan. InsyaAllah, bulan Oktober nanti aku akan terima orang baru dalam hidup ku. Oleh sebab itu, komitmen kepada keluarga juga perlu dilebihkan bulan Oktober ini. InsyaAllah, moga Allah permudahkan urusan....

Saturday, September 8, 2012

Hypnovasi di SK. Batu 4 Tawau

Alhamdulilah, segalanya berjalan lancar. Riak muka keseronokan murid dan guru mengambarkan keberjayaan ceramah motivasi saya. Sampai tidak sedar masa berlalu begitu cepat. Terima kasih diucapkan kepada Guru Besar SK. Batu 4 Tuan Haji Lamri Haji Suman atas  jemputan untuk memberi motivasi di sekolah beliau.

Hypnovasi kini mendapat perhatian dan dapat diterima ramai pihak. Ramai yang tidak sedar akan kelebihan dan kehebatan minda kita. Sungguh indah ciptaan Allah S.W.T banyak rahsia yang masih tersembunyi tentang kehebatan minda kita.

Minda kita mudah tertipu tetapi kita mampu mendidiknya untuk menjadi hebat. Dengan cara dan teknik yang betul, InsyaAllah kejayaan dan kecemerlangan pasti akan di perolehi. Salam cemerlang untuk semua.


Friday, September 7, 2012

Suatu ketika dahulu bersama Shahril Fuyoo Magic



Di hujung tahun 2010 lalu, saya pernah mengadakan kelas silap mata Shahril Fuyoo Magic, Ali Magicfinger & Ezad Magix. Ini merupakan kemuncak yang paling manis dalam karier silap mata saya kerana dapat mengumpulkan magician-magician yang hebat berkumpul bersama-sama berkongsi pengalaman silap mata.

Malah Shahril, Ali dan Ezad sendiri akui majlis itu adalah yang terbaik dalam seumur hidup mereka. Pada masa tersebut, keakraban rakan-rakan silap mata dari Sabah adalah yang terbaik. Sokongan padu mereka semua dapat saya jalankan majlis tersebut dengan lancarnya. Saya dapat mengumpulkan seluruh magician Sabah dari pelbagai daerah untuk bersama-sama memeriahkan majlis tersebut.

Setelah beberapa tahun berlalu, komuniti magic di Sabah umumnya tidak lagi seerat seperti yang dahulu. Tidak tahu di mana silapnya. Satu-satu ahli silap mata yang dahulunya bersama gugur satu persatu. Agak sedih dan terkilan dengan suasana ini. Mungkin keegoan magician itu sendiri, mungkin magician itu mempunyai komitmen itu sendiri, mungkin magician itu mempunyai haluan dan caranya sendri. Namun walau apa pun puncanya? Sebagai ahli silap mata kita harus kembali kepada matlamat utama sebagai seorang AHLI SILAP MATA iaitu ingin menghiburkan orang ramai.

InsyaAllah, saya yakin dan pasti sejarah ini pasti akan berulang. Nasihat untuk magician - magician fikirkan asal usul kamu sebagai ahli silap mata. Bila kamu bermula? bagaimana kamu bermula? dengan siapa kamu bermula? dan apa sebenarnya tujuan kamu menjadi magician? Jangan disebabkan keegoaan diri akhirnya memakan diri sendiri. Kalau rasa tidak puas hati dengan apa yang saya katakan? LANTAK LA KAU..... peduli apa aku!!!!

Monday, September 3, 2012

Sabah Idol Lahad Datu & Alwi Kahwin


Ulang alik dari Tawau ke Lahad Datu untuk membuat persembahan silap mata sempena Sabah Idol peringkat Lahad Datu. Sungguh menyeronok, sambutan orang ramai sungguh menggalakkan. Ramai yang tidak menyangka kedatangan kami untuk membuat persembahan silap mata. Setelah tamat majlis tersebut, kami terus bergegas pulang semula ke Tawau untuk pergi ke perkahwinan rakan seperjuangan magic iaitu Alwi. Tamat sudah zaman bujangnya. Tahniah untuk Alwi dan isterinya. Bah, kalau mau minta tips bagi ja sama aku. hahahhahaha...

Sunday, September 2, 2012

Iniesta & Messi Sayang bahasa ibunda mereka, KITA?


Baru-baru ini aku menyaksikan penganugerahan Pemain Terbaik Eropah bagi tahun 2011/2012. Ada tiga finalis untuk penganugerahan tersebut iaitu Iniesta, Messi dan C.Ronaldo. Keputusan terakhir telah dimenangi oleh Andre Iniesta dari negara Sepanyol, juga mewakili kelab FC Barcelona. Penganugerahan disampaikan oleh Platini yang merupakan bekas pemain bola sepak Perancis.

Apa yang menarik dalam penganugerahan ini, iaitu penggunaan bahasa negara masing-masing. Jika dilihat, Iniesta dan Messi masing-masing menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri tanpa segan silu dan penuh bangganya. Malah Platini sendiri mengumumkan pemenang dengan bahasa Perancis. Betapa bangganya mereka bercakap negara masing-masing. Tabik untuk mereka yang mempertahankan bahasa mereka sendiri.

Namun bagaimana kalau Nazmi Faiz cakap melayu ketika penganugerahan sebegini? mesti kena hentam oleh orang Malaysia itu sendiri. Malah di Malaysia itu sendiri, sesiapa yang tidak pandai cakap bahasa inggeris akan dipandang rendah. Tak percaya? pergilah mana-mana Hotel di Malaysia, berbicara dalam bahasa melayu, macam layan tak layan syak ditengok kamu. Tapi cuba kamu cakap bahasa inggeris, punya manis senyuman diberi kepada kamu.

Itulah hakikat di Malaysia. Aku tahu bahasa inggeris itu bahasa dunia, tapi tidak perlulah diagung-agungkan. Sedangkan negara Jepun itu sendiri maju dengan bahasa ibunda mereka sendiri. Kita sibuk belajar bahasa Inggeris tapi ntah ke mana belajarnya. Tepuk dada tanya iman. Fikir-fikirkan dan selamat beramal.

Tuesday, August 28, 2012

Bomoh Revealed (Pembongkaran Rahsia Bomoh)


Tiada yang berkuasa melainkan Allah S.W.T dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Sedikit masa lagi saya akan buat pembongkaran rahsia terbesar bomoh. Dengan terdedahnya rahsia ini, maka anda akan tahu siapa bomoh penipu yang terbesar di Malaysia ini. Siap sedia anda semua bomoh-bomoh penipu.

Kalau di Amerika ada "MASKED MAGICIAN" dengan rancangan TV yang terkenal " Magic Revealed. Di Malaysia pula dengan beraninya saya membongkar " Pembongkaran Rahsia Bomoh". Setelah bertahun-tahun mentelaah ilmu silap mata dan hypnosis. Banyak yang saya jumpa perkara dan perbuatan yang sering dilakukan oleh bomoh untuk menipu mangsa-mangsanya dan yang pelik masih ramai yang mempercayai mereka.

Ingat yang berkuasa hanya Allah S.W.T. Kalau mahu berubat sekali pun, carilah dan selidiki latar belakang pusat perubatan tersebut. Tanya dengan orang-orang kesahihan pusat perubatan tersebut.

Rasullah S.A.W pernah bersabda:
Barangsiapa yang mendatangi bomoh untuk bertanya tentang sesuatu perkara lalu dia membinarkan apa yang bomoh itu katakan, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh hari. ( HR Muslim )

Agama Islam menjatuhkan hukum berbomoh adalah SYIRIK (Menyekutukan Allah). Orang Islam yang menyekutukan Allah tidak akan diampunkan dosanya buat selama-lamanya hingga akhirat kelak.

Allah S.W.T berfirman:
 Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar. ( Al-Nisa' / 4 : 48 )

Tidak cukup dengan itu, orang syirik dengan Allah S.W.T akan diharamkan masuk ke dalam syurga.

Allah S.W.T berfirman:
Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya surga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun. ( Al-Maidah / 5 : 72 )

 Jika kita sentiasa beriman dan beramal soleh kepada Allah. Yakinlah kita akan sentiasa dilindungiNya. Ingat senjata umat Islam yang paling kuat adalah "DOA". Berdoalah selalu InsyaAllah akan dimakbulkan oleh Allah. TAKBIR!!!

Monday, August 27, 2012

Clown Raya at Semporna pula

Sekali lagi clown service untuk birthday party adik Rou Rou. Tetapi kali ni kami buat luar dari daerah Tawau. Kami ke Semporna. Kami dapat panggilan di saat-saat akhir. Agak kelam-kabut juga menuju ke tempat hari jadi tersebut. Berkat kesabaran perjalanan 1 jam 30 minit akhirnya kami sampai tepat pada masanya. 

Sedang asyik rakan saya membuat belon. Kejadian yang tidak diingini berlaku. Pam belon rosak pula, orang ramai sudah berbaris berkumpul. Dengan kadar segera kami cuba menyelesaikan masalah ini. Saya mencari pam baru di kedai manakala kawan saya mencuba memperbaiki pam tersebut. Akhirnya 30 minit kami berjaya memperbaiki pom tersebut. Rupa-rupanya letak minyak ja dalam pam tu.

Pengajarannya, bawa la Pam simpanan, ataupun sediakan plan B (kecemasan) sekiranya hal yang tidak diingini berlaku. Nasib baik tuan rumah tidak marah malah di bagi tips lagi. Thanks for Rou Rou family.

Saturday, August 25, 2012

Clown at Raya 2012


Walaupun bahang raya masih panas, kerja tetap diteruskan. Kali ni hari jadi anak Mr. Alan berumr 3 Tahun. Armand menjalankan tugas sebagai Clown. Semuanya berjalan lancar. Siap dapat tips lagi. Kerja mesti mau mantap baru pelanggan suka. Thanks to Mr. Alan. Happy birthday for your son.

Wednesday, August 15, 2012

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2012

Setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadhan , kini Syawal pula menjelma. Ini kemenangan bagi umat Islam di seluruh dunia. Kami Magictawau Team mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil fitri. Mohon kemaafan zahir dan batin. Mau tengok magic free singgah beraya di rumah saya. Tapi sms atau call dahulu. Untuk kanak-kanak riang, insyaAllah duit raya menanti yang datang rumah. hahahahaha.MAGICCC!!!!

Monday, August 13, 2012

Dan & Dave Lecture at Malaysia


Walaupun bukan aku bukan seorang flourish yang tegar, tetapi aku minat dengan kebolehan dua beradik kembar ini. Kelajuan dan kehebatan tangan mereka dalam bermain card diiktiraf dunia menyebabkan aku wajib menghadirkan diri untuk kelas mereka. Bukan calang-calang orang mereka ini. Menurut penganjur mereka membawa seorang lagi Underground Magician untuk turut sama memberi ilmu dalam kelas tersebut.

Saya dan beberapa rakan dari Sabah akan turun ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kelas tersebut. terima kasih diucapkan Mr. Vincent Tan kerana membawa mereka ke Kuala Lumpur. Bila lagi dapat berjumpa kembar yang hebat ini.  Saksikan sedutan video daripada rancangan Time Warp Discovery Channel:


Wednesday, August 8, 2012

Penghinaan kepada negeri Sabah, Apa penyelesaiannya?

Sebelum saya lanjutkan apa yang ingin saya katakan sila lihat gambar-gambar yang telah diprint screen kutukan-kutukan kepada negeri Sabah.


Saya sendiri tidak tahu puncanya dan apa sebabnya mereka berkata sedemikian rupa? Kemungkinan mereka rasa tidak puas hati dengan sesetengah sikap orang Sabah. Tetapi perkara ini makin menjadi-jadi di Facebook. Masing-masing tag gambar di antara satu sama lain. Masing-masing memberi komen dan pendapat ada yang masuk akal dan ada yang mengarut , tidak kurang ada yang cuba menyelesaikan dengan menulis blog dan mempamerkan apa yang ada di negeri Sabah ..... dan macam-macam sytle la yang saya nampak yang saya rasa sama sekali tidak memberi penyelesaian tentang masalah yang saya boleh anggap isu perkauman di antara semenanjung Malaysia dan negeri Sabah.

Bagi saya hanya satu penyelesaiannya..... Kembali kepada ISLAM.... itu yang sebenarnya...

Saya tertarik dengan website Dr. Asri tentang isu berpuak-puak  sila link
http://drmaza.com/home/?p=1250

Penyelesaiannya terdapat di sana. Saya akan ambil sedikit petikan Hadis dan Ayat Al-Quran daripada blog Dr. Asri yang boleh dijadikan panduan dan penyelesaian kita bersama:



“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain. Firman Allah: (maksudnya) (maksudnya):

    Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali ‘Imran ayat 103).

Saya bukanlah orang yang pakar dalam agama untuk mengulas hadis dan ayat al-Quran di atas. Tetapi apa yang jelas agama Islam mementingkan hidup bermasyarakat. Agama lain pun mempunyai penyelesaiannya sendiri. Tidak ada agama di dunia ini mahukan perpecahan kecuali agama YAHUDI

Kita perlu ingat apa tujuan kita hidup di dunia ini? Kita perlu tahu siapa yang menciptakan kita di dunia ini.? Mungkin ramai dikalangan rakyat Malaysia yang beragama Islam masih kurang mendalami agama Islam itu sendiri. Tidak hairan kejadian seperti begini sering berlaku dan sentiasa berlarutan.

Oleh itu muhasabah diri kita selalu. Dekati dan dalami agama Islam. Gunakan kemudahan Jalur Lebar untuk mencari tentang Islam dan ilmu tentang Islam. Itu yang lebih molek.

Mudah-mudahan sedikit karangan kanak-kanak saya ini sedikit sebanyak dapat menyelesaikan isu perkauman di antara Semenanjung Malaysia dan Negeri Sabah. kata Maher Zain "InsyaAllah ada jalannya"....

Friday, August 3, 2012

Birthday Clown at Vedablu

Terima kasih untuk Mr. chang & Mrs. Chang menjemput kami memeriahkan hari jadi anak mereka. Kami terpaksa berbuka di kereta kerana terpaksa awal ke tempat lokasi hari jadi. Semuanya berjalan lancar dan seronok. Puasa bukan penghalang untuk buat yang terbaik untuk pelanggan. Thanks again...

Sunday, July 22, 2012

Bomoh Temberang



Hakikat ramai bomoh di Malaysia ni semuanya PENIPU besar. Mereka menggunakan ilmu silap mata untuk mengaut keuntungan. Money, money, money. Pelbagai teknik dan kaedah yang mereka gunakan untuk memperdaya pelanggannya. Dan yang bangangnya ramai juga orang masih percaya dengan bomoh karut ni.

Aku pernah berjumpa dengan bomoh yang mengaku selalu menipu orang ramai. Mereka menceritakan yang mereka hidup sangat mewah hingga menginap di hotel. Bukan sembaranga hotel bah. Hanya berbekalkan modal nescafe dan botol kecil. Mereka menjual barangan tersebut dan mengatakan itu ubat sangat mujarab. Berbekalkan ilmu silap mata, mereka menunjukkan aksi ajaib mereka. Orang bertepuk dan bersorak, kemudian membeli ubat mereka. Ini cerita betul ya... bomoh tu yang cerita dengan aku.

Baru-baru ini juga, beberapa pusat perubatan islam yang konon-kononnya boleh menghalau jin, syaitan, saka dan seangkatan dengannya. Yang peliknya ramai juga orang datang. Hingga satu hari kawan aku yang dahulunya sihat walafiat mencuba la ke tempat perubatan tersebut di HOTEL EMAS. bukan cincai geng hotel bah. Selepas berubat, beliau mendapat penyakit lain. kakinya melecur dan membengkak menyebabkan dia tidak boleh berjalan. Sebelumnya SIHAT kini menjadi SAKIT..... Ini membuang penyakit ka? atau menambah penyakit?.... PUIHHH!!!! 

Video di atas di antara ilmu silap mata yang sering digunakan oleh bomoh-bomoh di Malaysia. Jadi terpulang kepada anda hendak menilainya. Kalau betul-betul ingin berubat siasat dahulu latar belakang pusat perubatan tersebut, siapa orangnya? apa ilmunya? sejauh mana ilmunya tentang Islam?.... jangan nampak nama Perubatan Islam terus sahaja percaya..... siasat siapa USTAZ yang mengubat...betul ka dia USTAZ...

Allah maha berkuasa, Allah berhak atas segala-galanya. Yakinlah Allah sentiasa dengan orang yang beriman.

Tuesday, July 17, 2012

Puasa Trooll oleh magictawau

Selama ni aku selalu baca dan ketawakan kartun orang. Bah kali ni aku pula try buat kartun trooll ini. Saya ambil situasi semasa puasa. Mungkin ada betulnya. kan? mesti kamu pernah buat? time kanak-kanak dulu la.....hahahahahaha....

Kartun TROOLL ini senang dibuat dan senang difahami. Ia banyak berkisarkan kisah benar dalam kehidupan. Jadi kalau mau buat kartun begini, kasi putus wayar satu di otak baru kamu dapat idea buat kartun begini. Bah, selamat mencuba.

Video Panas Magician Malaysia

Ini salah satu trick magic yang amat aku gemari. AMAR pun pernah persembahkan magic ni di TV9. Kalau mahu belajar trick ni boleh hubungi saya. Simple and amazing. PANAZ....

Friday, July 13, 2012

from Theory11 artist....




 Ini sedutan daripada komen Wayne Houchin &Lee Asher mengenai video magic yang saya telah persembahkan. Video ini dinobatkan juara pada tahun 2009 yang lalu. Mereka berdua adalah artist silap mata antarabangsa yang sangat terkenal di Amerika. Untuk pengehtahuan anda Wayne Houchin pernah menjadi Magician Counsultan untuk Criss Angel untuk rancangan Mindfreak.

Thursday, July 5, 2012

www.tawaumagic.com

Apa boleh buat? aku terpaksa mengubah domain blog ini disebabkan masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Aku tidaklah pakar dalam bidang membina website ni. Aku lebih suka benda yang sudah siap websitenya macam blogspot ni la. Jadi aku mengambil keputusan untuk mengubah laman blog ini ke www.tawaumagic.com

Diharapkan pelanggan setia silap mata dan badut Magictawau Team tidak kehairanan perubahan website ini.  Mungkin kamu tidak dapat link website sebelum ini iaitu blog.magictawau.net. Jadi, ini website muktamad.
Terima kasih untuk Abang Jamil Aziz menjemput kami untuk membuat persembahan di Sabah Idol di Eastern Plaza . Kami rasa bertuah Magictawau Team menjadi pilihan untuk menghiburkan pertandingan tersebut. Juga terima kasih kepada penyanyi lagenda Sabah Peter Dicky Lee atas kesudian persembahan kami di Sabah Idol ini.

Khidmat lebih daripada magic diperlukan oleh beberapa pihak. Terima kasih atas kepercayaan tidak terhingga pihak-pihak yang sangat mempercayai khidmat Magictawau Team. Kami akan buat sebaik yang boleh. Sebelum puasa ni nyanyi lagu "Macam Di KK" lagi.

Monday, July 2, 2012

SPAIN Juara Euro 2012

Tidak dapat dipertikai lagi kekuatan pasukan Sepanyol yang membelasah teruk pasukan Itali. Seperti yang saya jangkakan dari sebelum Euro lagi pasukan Spain akan mempertahankan kejuaraannya. Cuba lihat post saya sebelum ini. Kalau kaki judi tau hal ni lama sudah dia kaya raya. JUDI ITU BERDOSA.

Walaupun dipermulaan saingan pasukan SPAIN masih mencari rentak. Tetapi saya yakin dengan kesebelasan pemain yang diturunkan kejuaraan milik mereka. Saya boleh katakan kesemua pemain pasukan SPAIN boleh menjaringkan gol. Sebab tu la dorang ndak letak penyerang yang tetap. Pasukan SPAIN memang serasi antara satu sama lain. Hampir kesemua pemain adalah pemain Barcelona. Keserasian itu yang membawa mereka kepada kemenangan.

Kerjasama pasukan yang tidak tamak menguatkan lagi pasukan SPAIN. Penyerang berbisa, pertahanan yang kebal dan pemain tengah yang lincah menguatkan lagi pasukan SPAIN. Tidak hairan mereka membelasah Itali sebanyak 4-0 atau 4 berbalas telur busuk. Orang Tawau panggil KARUNG bah Itali...ha,ha,ha..... Tahniah, tahniah, tahniah....

 (4) SPAIN VS ITALY (0)
David Silva (14)
Jordi Alba (41)
Fernando Torres (83)
Juan Mata (87)

Wednesday, June 27, 2012

Dr. Azmy Hamron Family Birthday






Selamat ulang tahun untuk Doktor Mohammad Azmy Hamron (30), mudah-mudahan dimurahkan rezeki dipanjangkan umur. Terima kasih untuk adik doktor, Puan Azlina kerana menjemput Magictawau Team untuk memeriahkan majlis hari jadi berkenaan. Adalah suatu kebanggaan sekiranya salah seorang daripada adik beradik kita menjadi seorang Doktor. Aku rasa impian semua ibu bapa di Malaysia umumnya inginkan anaknya menjadi Doktor. Lahir syak ke dunia terus di cop "Ini anak bakal jadi doktor nanti besar".  Tahniah dan terima kasih sekali lagi.

Monday, June 25, 2012

KHIDMAT MOTIVASI


TESTIMONI:

"Tahniah, sungguh mengagumkan dan menghiburkan! " - (Guru Besar SK. Batu 4 Tawau)

" Lain daripada yang lain, tidak pernah nampak motivasi seperti ini" - (Armand Man)

"Biasanya benda ni nampak dalam TV, hari ini nampak depan mata" - (Guru)

"Hebat, macam tidak puas lagi ! " - (Pelajar Sekolah) 

"Saya duduk paling hadapan dan paling terhibur di antara semua" - (Pelajar Sekolah)

" Disamping motivasi, diselitkan hiburan silap mata. Sesuatu yang menarik. " - (Guru Besar SK Perdana Tawau )
 
 
Kami daripada tawaumagic.com menyediakan perkhidmatan Motivasi Magic). Ia merangkumi persembahan Silap Mata dan Motivasi  kecemerlangan kepada pelajar-pelajar sekolah. Ia bukan sahaja menarik perhatian murid malah memberi semangat motivasi kepada pelajar-pelajar untuk belajar di sekolah. Kami menyediakan khidmat Motivasi Magic untuk Sekolah Rendah (UPSR,) Sekolah Menengah (PMR, SPM & STPM) dan Ibu Bapa di seluruh Malaysia.

Khidmat Motivasi yang saya sediakan:
  1. MOTIVASI KEPIMPINAN (KETUA KELAS &PENGAWAS)
  2. MOTIVASI KECEMERLANGAN PELAJAR
  3. MOTIVASI STUDI SMART
  4. MOTIVASI KEPIMPINAN KELUARGA
 

Memandangkan kerjaya utama saya adalah seorang guru, ahli silap mata profesional & seorang bapa  Oleh sebab itu, saya ingin berkongsi kepada pelajar-pelajar & ibu bapa ilmu menjadi pelajar yang hebat di dunia dan di akhirat. Ia bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga menghiburkan. Ia sangat sesuai untuk pelajar-pelajar yang lemah dan malas dalam pembelajaran.





Sekiranya anda berminat atau ingin mengutarakan soalan mengenai HYPNOVASI  boleh hubungi saya :

No. HP :012-8161599 atau 017-8201504
Nama : Abdullah Alif (Magictawau)
Email :tawaumagic@gmail.com

Latar Belakang Saya:


Abdullah Alif
Tawau, Sabah
CEO Magictawau / Ahli Silap Mata (Magician)
Guru SK. Kg Raja Uda (2006- 2008)
Guru SK. Perdana Tawau ( 2008 - kini )
Guru Bimbingan & Kaunseling
Diploma Perguruan Malaysia
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011
Pengurus Motivasi AMAR Jelajah Sabah 2012
Pengurus Persembahan Silap Mata Peringkat Sabah 2012
Jurulatih Utama Negeri Sabah Dunia Muzik 


Sunday, June 24, 2012

Back To The Kuhara...

Wah seronoknya dapat buat persembahan magic di sekolah menengah remaja dahulu. Sepertinya kembali ke alam sekolah semula buat persembahan wakil kelas , kelab dan persatuan. Bersempena Karnival Kuhara 2012 saya telah dijemput untuk memeriahkan majlis tersebut. Walaupun berlanggar dengan waktu kuliah ku tapi aku redah dengan selambanya. (Semut ndak akan datang kalau tiada gula)

Kenangan tingkatan1 hingga 6 rendah tersemat di sekolah ini. Teringat akan waktu-waktu tinggal di asrama yang penuh dengan kenangan. Suka dan duka semuanya dialami di sekolah menengah ini. Respon yang diberikan oleh murid-murid SMK Kuhara sangat memberansangkan. Seronok melihat mereka terhibur. 

Dapat berjumpa dengan bekas murid-murid yang aku ajar sekolah rendah yang kini semakin besar bujang dan perawan. Cepat masa berlalu. Melihat bekas-bekas murid yang di ajar ni baru sedar diri ini semakin tua. Ha,ha,ha...... Bekas murid-murid aku juga yang memberi support 300% dengan persembahan aku. Thanks murid-murid ku.




Tidak dilupa juga rakan-rakan Facebook juga memberi support kepada saya. Sokongan anda adalah inspirasi buat diriku. Terima kasih untuk SMK Kuhara Tawau atas jemputan yang penuh memori ini. Terima kasih untuk Junaidi MyTawau untuk gambar-gambar ini.


Friday, June 22, 2012

Sambutan Hari Bapa & Petikan Buku

Beberapa hari yang lalu ada membuat persembahan magic untuk sambutan hari bapa di Shervinton Hotel. Semuanya berjalan lancar walaupun agak sedikit penat dengan kesibukan kehidupan harian yang penuh pancaroba. Respon yang diberikan memang luar biasa. Keserasian silap mata Magictawau Team kini menjadi-jadi. Idea gila saya dan Arman kini boleh diterima. Walaupun agak resah dengan apa yang kami persembahkan.





Di sini juga saya masukkan beberapa petikan yang terdapat dalam buku "Menjadi Selebriti Melalui Youtube" oleh penulis buku & komik terkenal Alif Firdaus Azis yang juga rakan magic ku. Buku ini penghargaan yang sangat bernilai bagi diri saya. Terima kasih Alif kesudian menemu ramah saya.