Tuesday, March 19, 2013

TRAUMA 02 Mac 2013

Pada masa saya tulis post saya ini, keadaan di Tawau Sabah sudah kembali seperti biasa. Walaupun masih dalam keadaan berjaga-jaga. Semalam sahaja, beberapa buah kereta Kebal berantai Malaysia telah berlabuh di Tawau dan di bawa ke Lahad Datu. Perairan laut Tawau -Nunukan dikawal oleh pihak keselamatan Indonesia dan Pihak keselamatan Sarawak bersiap sedia di sempadan masing-masing. Walaupun tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku, namun saya yakin ATM dan PDRM ada ceritanya tersendiri untuk menjaga keamanan negeri Sabah.

Di sini, saya ingin menceritakan bagaimana suasana daerah Tawau ketika terjadinya kejadian tembak menembak di Kg. Simunul Semporna. Pada hari kejadian iaitu 02 Mac 2013, saya masih bersedih dengan kejadian terkorbannya dua Polis Komando Malaysia di Lahad Datu. Malam itu, adik aku mengajak aku menonton wayang di Eastern Plaza. Tapi aku menolaknya kerana tiada cerita yang best. Jadi adik-adik aku semua pergi selepas solat maghrib. Di rumah hanya Isteri, anak dan ibu bapa ku. Aku membuka facebook sekitar 7.00 mlm. Tiba-tiba aku terlihat satu post dari rakan aku yang mengatakan kejadian tembak-menembak di Kg Simunul Smeporna. Kebetulan keluarganya tinggal di kampung tersebut. Selang beberapa minit kemudian beberapa orang mengesahkan kejadian tersebut. Aku panik dengan apa yang ku baca.

Kemudian SMS salah seorang anggota polis memberitahu suara teriakan polis kedengaran dan mengerikan. Aku cuba menghubungi rakan-rakan yang berada di Semporna. dan semua rakan-rakan mengsahkan kejadian tersebut benar-benar berlaku. Ada mengatakan polis hanya menyiasat budak syabu. Berita pertama mengatakan dua orang polis cedera. Kemudian SMS diterima lagi, beberapa orang penceroboh telah masuk ke rumah-rumah dan penduduk kampung berkenaan dalam ketakutan. Selang sejam kemudian PDRM mengesahkan kejadian tersebut. Oleh kerana Semporna dan Tawau tidak jauh kedudukannya saya menghubungi adik-adik saya untuk pulang dengan kadar segera. Adik saya memberitahu agar mengisi minyak kereta penuh kemungkinan besar perang besar akan berlaku.

Aku dan ayah ku segera mengisi minyak kereta di stesen minyak. Hampir semua stesen minyak di Tawau dipenuhi kereta. Semua muka pada hari itu, pucat dan dalam keadaan ketakutan. Berita penceroboh di Kunak juga sudah kedengaran. Berita khabar angin mula tersebar dan tidak terkawal. Penduduk Tawau umumnya berada dalam keadaan kelam kabut. Pada malam itu, aku tidak dapat tidur risau kejadian yang tidak diingini berlaku.

Pada keesokan harinya, berita awal yang aku dengar 2 Polis Malaysia telah terkorban. Kemudian berita kematian penceroboh dipukul orang pula menyusul. Selang beberapa jam 3 orang polis lagi dilaporkan terkorban. Aku membawa isteri, anak dan adik-adik aku meninjau keadaan di bandar Tawau. Kelihatan semua restoran dan kedai tutup pada hari itu. Pasar raya dipenuhi orang ramai membeli bekalan makanan. Sedang kami meronda kami bertembung dengan kereta Polis yang membawa keranda. Dalam hati aku, itulah salah seorang mayat Polis di Semporna. Jalan Kinabutan sesak akibat sekatan jalan raya oleh Polis. Kelihatan abang-abang polis membawa senjata besar dan beberapa karung pasir di dirikan di tepi jalan.

Hingga ke petang pasaraya masih dipenuhi orang ramai berebt-rebut membeli makanan. Balai polis Tawau juga di lihat beberapa kubu pasir didirikan. Setiap kubu beberapa orang polis bersenjata berat dapat diperhatikan. Berita 6 orang anggota polis terkorban dalam keadaan ngeri tersebar. Kejadian tersebut membuatkan ketakutan yang sangat teruk di daerah Tawau. Sehinggakan tidak ada berani untuk keluar rumah.

Pada hari Isnin pula, sekolah seperti biasa. Kejadian di Semporna menjadi buah mulut di bilik guru. Semua guru-guru berada dalam keadaan ketakutan. Cerita ngeri polis berkenaan membuat semua guru hilang tumpuan. Sebuah sekolah di Tawau di arahkan pulang oleh pihak keselamatan. Ini membuatkan sekolah-sekolah berhampiran ketakutan dan banyak spekulasi dibuat. Khabar angin tidak henti-henti didengar. Pada sebelah petang, ibu bapa bergegas mengambil anak disekolah masing-masing memaksa sekolah memulangkan murid-muridnya awal. Semua sekolah di Tawau pulang awal pada hari tersebut.

Pada malamnya aku memberanikan diri meronda bandar Tawau. Aku sengaja lalu di IPD Polis Tawau. kelihatan beberapa kumpulan polis bersiap sedia dengan senjata mereka. Aku terus meronda bandar Tawau. Alangkah terkejutnya aku, sepanjang hidup ku aku tidak pernah nampak bandar Tawau sunyi dan lengang. Hanya kelihatan dua tiga kereta sahaja. Aku ibaratkan pada hari itu Bandar Tawau menjadi Bandar Zombie. Sungguh menyeramkan bandar Tawau pada masa itu. 


 Kenangan ini, akan menjadi sejarah hitam untuk negeri Sabah umumnya. Aku tidak akan lupakan suasana tersebut dan saya pasti penduduk Tawau TRAUMA akan hari berkenaan. Doakan semuanya kembali seperti biasa. Penduduk Tawau masih trauma dan berjaga-jaga sehingga sekarang walaupun sekarang sudah beransur pulih.






No comments: