Tuesday, March 8, 2016

5 Permainan Bahasa untuk Pengajaran Dan Pembelajaran Guru Di Dalam Kelas


Permainan Bahasa di dalam kelas sesuatu yang sangat menyeronokkan kepada pelajar di dalam kelas. Aktiviti itu lebih seronok sekiranya ia berkait rapat dengan mata pelajaran yang guru sedang ajar. Ia bukan sahaja memberi keseronokkan dalam pengajaran guru, malah memudahkan objektif pengajaran guru tercapai. Di antara aktiviti yang sesuai adalah :

1. Permainan Kata Tanya 1
Sekiranya anda rajin melihat rancangan Super Spontan anda akan tahu cara permainannya. Aktiviti ini sangat mudah untuk dijalankan tanpa apa-apa bantuan barangan.

Cara permainan : 
  • Bahagikan kepada 2 - 4 kumpulan
  • setiap kumpulan menghantar seorang wakil
  • Guru mewujudkan satu situasi cth " Sesat di hutan"
  • Pelajar yang mewakili kumpulan hanya menggunakan AYAT TANYA sahaja.
  • Mana-mana pelajar yang memberi jawapan dikira KALAH.
Contoh :
Murid A : Di mana kita sekarang?
Murid B : Siapa nama awak?
Murid C : Bagaimana kita boleh sesat?
Murid D : Kita tersalah jalan (Murid D Kalah sebab beri jawapan)


2. Permainan Kata Tanya 2
Permainan ini pula kesinambungan permainan kata tanya 1. Aktivitinya lebih kurang seperti aktiviti pertama cuma hanya pertukaran ayat tanya kepada ayat jawapan. 

Cara permainan :

  • Bahagikan kepada 2 - 4 kumpulan
  • Setiap kumpulan menghantar seorang wakil
  • Guru mewujudkan satu situasi cth " Makan di Restoran"
  • Pelajar yang mewakili kumpulan hanya menggunakan JAWAPAN sahaja.
  • Mana-mana pelajar yang memberi ayat tanya dikira KALAH.
Contoh :
Murid A : Gerai ini cantik.
Murid B : Saya nak makan nasi goreng.
Murid C : Makan angin pun sedap.
Murid D : Bagaimana nak order makanan? (Murid D Kalah sebab beri ayat tanya)


3. Permainan Peribahasa Bisu
Permainan ini sangat klasik, ia menjadi permainan ketika saya belajar di sekolah dahulu. Ia sangat sesuai bagi guru yang ingin mengajar tajuk peribahasa kepada pelajar di dalam kelas.

Cara permainan :
  • Bahagikan pelajar kepada 2 - 4 kumpulan
  • Setiap kumpulan menghantar seorang wakil.
  • Guru memberi peribahasa kepada wakil kumpulan cth "Buruk Siku"
  • Wakil pelajar tersebut mengayakan, melukis dan melakonkan peribahasa yang diberikan.
  • Wakil pelajar dilarang sama sekali untuk bercakap. Sekiranya bercakap dikira KALAH.
  • Kumpulan masing-masing cuba meneka peribahasa yang digayakan, dilukis dan dilakonkan.
  • Kumpulan yang dapat meneka dikira sebagai PEMENANG.

4. Apa Pun Boleh Jadi?
Permainan ini juga diinspirasikan daripada rancangan Super Spontan. Ia menggalakkan murid untuk berfikir secara kreatif dan berfikir secara cepat.

Cara permainan :
  • Bahagikan pelajar kepada 2 - 4 kumpulan
  • Setiap kumpulan menghantar seorang wakil.
  • Guru akan memberikan satu benda kepada wakil pelajar cth "Penyapu"
  • Murid perlu jadikan penyapu itu sebagai benda lain cth "Gitar, pemukul nyamuk, senjata api dll"
  • Kumpulan yang dapat menyenaraikan kepelbagaian benda tersebut dikira PEMENANG
  • Guru boleh memberikan satu minit setiap kumpulan untuk mempelbagaikan benda tersebut.

5. Roda Impian Bahasa
Ini juga di antara permainan klasik yang selalu dimainkan oleh guru-guru sejak dahulu lagi. Walaupun ia aktiviti ringkas tetapi menyeronokkan.

Cara permainan :
  • Bahagikan murid kepada 2 - 4 kumpulan
  • Setiap kumpulan menghantar seorang wakil.
  • Guru menyediakan petak kosong mengikut jumlah perkataan benda tersebut cth : PEMBARIS
  • Wakil pelajar boleh membuka huruf dengan huruf Vokal (a, e, i, o, u) dahulu.
  • Untuk perkataan seterusnya pelajar hanya boleh membuka dengan huruf konsonan.
  • Kumpulan yang berjaya meneka perkataan tersebut dikira sebagai PEMENANG.

Banyak lagi permainan bahasa yang boleh dipraktikkan di dalam kelas. Ia akan memberi keseronokkan dalam pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Selain itu ia akan menjana minda pelajar untuk menjadi seorang yang lebih kreatif. Objektif pengajaran guru lebih mudah tercapai terutamanya guru Bahasa Melayu.




No comments: